|
MAJLIS TAHLIL & BACAAN YASSIN BERSAMA ANAK-ANAK YATIM DI TAMAN PENDIDIKAN ANAK YATIM DARUL KIFAYAH ANJURAN RMHC DENGAN KERJASAMA RUKUN TETANGGA KERAMAT WANGSA 1A
Kuala Lumpur, 28 Jun 2006 - Tabung Kebajikan Ronald McDonald Untuk Kanak-kanak Malaysia (RMHC) dengan kerjasama Rukun Tetangga Keramat Wangsa 1A telah mengadakan majlis tahlil dan bacaan yassin bersama-sama 180 orang anak-anak yatim di Taman Pendidikan Anak Yatim Darul Kifayah, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Sambutan ini diadakan agar kanak-kanak yang kurang bernasib baik memperingati jasa ibubapa mereka yang telah meninggal dunia.
Majlis dimulakan dengan bacaan yassin dan tahlil oleh wakil-wakil dari RMHC, wakil-wakil dari Rukun Tetangga Keramat Wangsa 1A, kanak-kanak di Darul Kifayah dan juga para pekerja Darul Kifayah. Majlis ini juga bersempena Hari Syahadah ataupun Wafat puteri Rasullah s.a.w iaitu Fatimah Az-Zahra s.a. Wakil dari Rukun Tetangga Keramat Wangsa 1A, En Hirman Falani bin Affendi telah memberikan sedikit tazkirah bertujuan menyedarkan kembali betapa pentingnya untuk mengenali peribadi Puteri Rasullah ini dan menjadikan beliau sebagai contoh tauladan oleh anak-anak di Darul Kifayah.
Pada majlis itu kanak-kanak dihidangkan dengan hidangan McDonald’s yang telah ditajakan oleh RMHC. Perasaan riang jelas kelihatan di wajah kanak-kanak apatah lagi dengan layanan daripada wakil-wakil dari RMHC dan Rukun Tetangga Keramat Wangsa 1A.
RMHC adalah sebuah badan kebajikan berdaftar yang telah ditubuhkan pada tahun 1990 dengan objektif untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik melalui tiga aspek utama iaitu kesihatan, pendidikan dan sosial.
|