AIDILFITRI DI RUMAH RONALD McDONALD (RMH-HUKM)
Kuala Lumpur, 25 November 2005 – Rumah Ronald McDonald-Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (RMH-HUKM), hari ini telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2005 sebagai usaha memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk berhari raya bersama kanak-kanak yang terpaksa menjalani rawatan di hospital.
Seramai 50 kanak-kanak dari Pertubuhan Anak-Anak Yatim Sabak Bernam, dan juga kanak-kanak dari wad pediatrik hadir di majlis tersebut. Turut memeriahkan majlis ialah Kumpulan A to Z yang suatu ketika dulu pernah terkenal dengan lagu “ Itik gembo-gembo”
“Perasaan gembira dan ceria di hari lebaran adalah sesuatu yang amat bermakna kepada ibu bapa dan kanak-kanak, lebih-lebih lagi bila perasaan itu dapat dikongsi bersama ibu bapa yang anaknya kurang bernasib baik. RMH akan terus menganjurkan aktiviti dan majlis sebegini untuk menceriakan lagi hari-hari pesakit di hospital.”, ujar Y. Bhg. Datin Azizar Othman selaku Pengerusi Rumah Ronald McDonald.“
“ Tahun ini adalah tahun yang sungguh sayu bagi saya dan keluarga kerana terpaksa beraya di hospital kerana anak saya perlu menjalani rawatan di hospital. Tetapi, pada hari ini saya berasa amat bertuah dapat bersama-sama berkongsi kegembiraan bersama ibu bapa yang senasib dengan saya” kata Puan Nadia Yan Abdullah dari Melaka.
Pelbagai juadah Hari Raya telah dihidangkan untuk kanak-kanak dan ibu bapa yang diraikan. Sambutan yang sungguh mengagumkan ini dapat menjadi satu pengalaman yang indah dalam diri mereka dan dapat berkongsi bersama antara ibu bapa di RMH dan di wad pediatrik.
|